Saturday, November 29, 2008

Yoga Dan Fatwa

Assalamualaikum.


Di zaman-zaman tahun 80an dulu, ramai org yg pertikai kenampakan anak bulan sebagaimana yg diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lalu ramailah yg beraya sebelum tarikh yg diisytiharkan.

Mudah saja nak selesaikan. Ada hujah akademik dan ada hujah yang non-akademik. Hari ini, saya nak tarik perhatian kpd hujah yg non-akademik. Siapa yg pergi tengok anak bulan tu. tentunya para ahli agama termasuk mufti. Bersama beliau ada juru ukur, ahli falak dan sebagainya. Saya pernah dan berpengalaman hadir bersama mereka ini ke lokasi melihat anak bulan dan dapat lihat sendiri kalangan mereka ini.

Kita lihat pula siapa yg mempertikaikannnya. Di kampung saya ketika itu ada seorang lebai yg menjadi ketua utk "beraya awal" ni. Saya tahu dia org yg ada asas-asas ilmu agama tapi saya tak yakin dia mempunyai cukup ilmu falak, astronomi dan seumpamanya. Jauh sekali untuk memiliki ijazah dlm falak dan astronomi.

Maka begitulah kini, Siapa yg menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa, mereka ialah ulama yg terdiri dari mufti, pegawai agama, pensyarah pengajian Islam dlm bidang tertentu seperti usul fiqh, siasah syar'iyyah, sosiologi hukum dsbg (bukan cara tangkap muat, asalkan pensyarah dlm bidang agama, maka dikira boleh). Semasa bersidang saya diberitahu, mereka akan panggil individu-individu yg mahir dlm bidang yg dipersoal untuk mengemukakan fakta, samada dari kalngan pengkaji, pengamal, pakar-pakar dsbgnya. Dari situlah hukum dikeluarkan.


Kita lihat pula org yg mempertikaikannnya, sejauh mana ilmunya, imannya dan ketaatannya kpd perintah Allah. Secara fizikal pun dah dpt kita lihat, yg prm, arahan paling simple, pakai tudung pun ia tak patuhi, apatah lagi dlm kes yg kompleks ini. Sekarang, neracanya adalah iman. Rasulullah bersabda maksudnya : "Jauhilah kamu semua dari perkara yg samar-samar (syubuhat)". Dan jelas, dlm hal ini, menjauhi perkara yg samar-samar itu lebih selamat untuk iman. Menghampiri yg samar-samar itu lebih seronok untuk kemahuan. Timbang-timbanglah anatara iman dan kemahuan.

Thursday, November 20, 2008

Ustaz, Dakwah dan ICT

Assalamualaikum wr. wbt.

Firman Allah bermaksud : Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sabda Nabi bermaksud : Sampaikanlah apa yang datang dariku walau pun sepotong ayat.

Potongan ayat dan hadis di atas amat jelas menunjukkan bagaimana dan apa peranan kita umat Islam dalam menjamin kesinambungan Islam dan dari sudut ilmu, amal dan keutuhan penghayatannya.Tinggal lagi.... bagaimana untuk mengaplikasinya dalam amalan. Bagaimana untuk memastikan dakwah itu terlaksana.

Saya tidak berhajat untuk berhujah tentang tanggung jawab dakwah itu samada ia fardhu 'ain atau kifayah tetapi lebih berhasrat untuk meninjau dari sudut aplikasinya sebagaimana yg dinyatakan di atas.

Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang adalah berbeza. Oleh itu gunakanlah ilmu dan kemahiran tersebut untuk melaksanakan tugas dakwah. Jika ilmu dan kemahirannya banyak, jalankan secara "banyak", jika ilmu dan kemahirannya sedikit, jalankan dakwah secara sedikit dan sentiasa bertambah. Namun erti kata "tak tahu dan tak boleh " untuk jalankan dakwah kerana alasan itu, tidak boleh sama sekali.

Mengikut kata seorang ustaz yang menjawat jawatan CEO sebuah kolej universiti, apabila ditanya tentang kelebihan penglibatannya dalam rancangan-rancangan agama di TV, jawapan yang diberikan ialah "di sana kita akan mendapat sasaran dakwah yang ramai. Dakwah kita akan meluas kerana penontonnya lebih ramai".

Maka di sini saya ingin fokuskan bidang dakwah menggunakan ICT atau secara lebih spesifiknya "internet". Kita melihat kian ramai kini para lulusan dari aliran agama menggunakan medium ini untuk menyampaikan ilmu dan dakwah. Tetapi istilah "ramai" itu mewakili berapa peratus sahaja berbanding bilangan lulusan aliran agama di Malaysia hari ini. Saya beranggapan, jauh dari cukup atau memadai.

Andai kata jika seseorang inginkan fatwa bagi sesuatu isu di Malaysia dan ingin mendapatkannya dari mana-mana blog atau laman web interaktif individu yang berautoriti, web manakah boleh ia dapati. Masih kurang. Sebolehnya para mufti, pegawai-pegawai di pejabat agama, kaunselor-kaunselor dan lain-lain pihak yang berautoriti perlu memiliki laman-laman sebegini untuk memudahkan capaian maklumat dalam dunia yang sentiasa sibuk dan bergerak pantas ini.

Tetapi ia dilihat agak kurang. Jika pun ada laman-laman web pejabat agama, sebahagiannya tidak interaktif dan bertambah malang apabila ia juga tidak di "update" kan.

Saya menyeru kepada para ilmuan Islam. Gunakanlah medan dakwah yang ada ini. Mungkin kalau dahulu, medan dakwahnya ialah "membuka pondok" untuk membolehkan murid berinteraksi, tetapi kini, tanpa menafikan cara lama, kita boleh pula beralih kepada "membuka laman web interaktif" untuk tujuan yg sama.

Kalau kedengaran kata-kata "ustaz kurang pandai ICT" cuba selidiki, berapa peratus yang pandai dan berapa peratus yang tidak pandai di kalangan mereka. Kemudian cuba selidik pula berapa peratus "individu bukan ustaz" yang pandai ICT dan berapa peratus yang tidak pandai dari kalangan lalu buat bandingan. Kita selalu fokus bahawa ustaz tidak berkemahiran dlm ICT tetapi kita tidak pula fokus kepada berapa berapa ramai "bukan ustaz" yang lebih tidak pandai dlm aspek ini.

Mungkin ada pendapat mengatakan mereka kurang kemahiran Bahasa Inggeris dan susah untuk mempelajari ICT kerana teknologi ini byk menggunakan bahasa itu. Cuba kaji pula sebagaimana di atas,berapa peratus ustaz yg "tidak boleh" menguasai bahasa inggeris ICT berbanding dengan yang "boleh"dan berapa ramai "bukan ustaz" yang" boleh" berbanding dengan yang "tidak boleh". Saya amat tertarik untuk menjalankan kajian ini. Hipotesis yang ada dlm kepala saya- "peratusnya mungkin tidak jauh berbeza antara mereka". Hipotesis ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya,bukan kajian. Jika ada mana-mana rujukan yang boleh memberi data ini, sila maklumkan saya. Ia menarik untuk dikongsi.

Satu hal yang perlu diberi perhatian, guru-guru agama kini tidak lagi seperti guru-guru agama dulu. Lulusan agama kini adalah lulusan kurikulum pengajian terkini, yg mana mereka telah didedahkan dengan kurikulum yg sama dengan kurikulum untuk pelajar-pelajar bukan aliran agama. Sebagai bukti,lihat sahaja kurikulum di sekolah-sekolah menengah agama sekarang, apa subjek yang tidak ada di sana. Semuanya ada, sama seperti sekolah biasa, malah lebih dari itu.

Seorang pensyarah sebuah universiti berkata " orang sering melihat ustaz tidak mahir ICT dan bahasa inggeris tetapi ramai lagi yg mahir tidak pula dilihatnya. Orang sering melihat golongan bukan ustaz mahir ICT dan bahasa inggeris tetapi lebih ramai yang tidak mahir tidak pula dilihatnya."


Sekian, untuk renungan.

Monday, November 17, 2008

BERIKUT ADALAH CERAMAH SAYA DLM RADIO FM KELANTAN SEMPENA IDUL ADHA AKAN DATANG. RAKAMAN TELAH DIBUAT SEHARI DUA LEPAS.

Assalamualaikum wr. Wbt.
Tuan-tuan dan puan-puan para pendengar sekelian,

Zulhijjah menjelma lagi.Seluruh umat Islam baik yang berada di tanah air mahupun
yang sedang berada menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah Al-
Mukarramah merayakan Idul Adha pada setiap 10hb di bulan ini dengan bertakbir untuk mengagongkan Allah,, bertahmid untuk memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah,
bertasbih untuk mensucikan Allah dari segala bentuk amalan syirik.

Salah satu daripada tujuan disambut Aidil Adha adalah agar umat Islam sentiasa memperbaharui ingatan mereka kepada kepada satu peristiwa besar lagi bersejarah yang pernah berlaku kepada Abu al-Anbiya iaitu bapa para nabi, Nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melaksanakan perintah Allah supaya menyembelih anaknya sendiri adalah satu pengorbanan amat besar yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai iman dan keyakinan yang jitu. Allah rakamkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. ini di dalam firmanNya melalui surah al Shafaat ayat 102- 110 yang bermaksud :


Sesungguhnya kita umat Islam sangat bertuah kerana dianugerahkan nikmat Aidil Adha yang berkonsepkan pengorbanan dan mempamerkan kehebatan sejagat ini. Selain dari peristiwa itu, kehebatan juga terpancar melalui perhimpunan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang saban tahun berkumpul dalam satu perhimpunan agung di tanah suci Mekah dengan natijah pengorbanan masing-masing iaitu untuk menjunjung tinggi kalimah tauhid. Mereka yang tidak dapat bersama-sama untuk menjejak kaki di Mekah pula akan bersiap sedia untuk membuat pengorbanan masing-masing dengan korban-korban binatang ternakan yang terpilih dan terbaik, di pagi Aidil Adha dan beberapa hari berikutnya sebagai lambang kebersamaan dalam ubudiah kepada Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ketika menyambut aidil adha ini ialah konsep, semangat dan penghayatan korban kerana rela atau tidak, kita adalah pemegang amanah dan pemikul kewajiban yang akan membawa perubahan dengan semangat pengorbanan yang telah dirintis oleh para Nabi Ibrahim. Inilah jalan hidup yang
terbaik bagi umat Islam untuk lahir sebagai umat yang unggul dan terbaik,

Pengorbanan bererti memilih sebahagian perkara dan menolak sebahagian perkara lain, kerana kita tidak mampu untuk memilih kedua-dua perkara yang berlawan dalam satu masa kerana kehidupan kita ini dijadikan dengan penuh terhad. Terhad segalanya. Masa yang terhad, wang yang terhad, diri yang terhad, umur yang terhad, undang-undang yang terhad, pengetahuan yang terhad dan segala macam lagi yang penuh terhad.

Semuanya yang kita korbankan adalah bergantung bagaimana kita membuat pilihan dalam keadaan dan suasana yang terhad. Biasanya pilihan yang dibuat adalah berlandaskan tentang apa yang kita yakini terbaik. Kalau seseorang berfikir yang qiamullail itu lebih baik dan boleh mendatangkan rasa cintanya kepada Sang Pencipta, maka dia akan korbankan tidurnya. Sebaliknya, jika seseorang itu fikir yang tidurnya itu lebih baik dan mungkin sahaja dapat menghilangkan mengantuknya, maka dia akan kesampingkan ibadat sedemikian. Begitulah seterusnya

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Pengorbanan yang dilakukan seseorang, adalah umpama memberitahu apa yang dicintanya dan apa pula yang dibencinya, mana yang lebih utama dan yang kurang utama baginya. Yang mana perlu didahulukan dan yang mana tidak. Seseorang akan berhenti di lampu merah adalah kerana dia percaya yang undang-undang dan keselamatan dirinya adalah lebih utama dari memecut laju mengejar masa.
Seseorang pesakit yang takut makan ubat, akan makan ubatnya kerana dia yakin yang kesihatannya adalah lebih utama dan lebih dicintai, melebihi rasa pahit sesuatu ubat itu. Dan seseorang yang diabetis (daibetis) sanggup dipotong kakinya yang rosak demi untuk menyelamatkan sesuatu yang lebih utama baginya iaitu anggotanya yang lain, malah, juga nyawanya.
Pendek kata, tidak diragu lagi bahawa seseorang akan sanggup melakukan apa sahaja demi apa yang dicintainya. Dan sesuatu yang kita cintai sering sahaja menuntut pengorbanan dari kita. Maka itu,­ pengorbanan menuntut kebijaksanaan dalam membuat pilihan. Menuntut kebijaksanaan untuk menilai yang mana perlu lebih diutamakan. Manusia akan rosak apabila tidak bijak dalam membuat pilihan.­

Demikianlah, pentingnya Aidil Adha dan ibadah korban ini dalam mendorong semangat umat Islam untuk terus berkorban dengan ikhlas semata-mata kerana Allah demi mencari melaksanakan perintah Allah dan rasulnya. Tanpa semangat berkorban yang dirintis oleh Nabi Ibrahim alaihissalam ini, orang akan sayang untuk membelanjakan hartanya berpuluh ribu ringgit untuk ke Makkah, orang akan sayang binatang ternaknya untuk disembelih sebagai korban. Juga orang akan sayang mengeluarkan harta benda, menyumbangkan akal fikiran, ilmu dan jiwa raga untuk kebahagiaan akhirat, yang masih belum dapat dilihat hasilnya semasa hidup ini.


Kesimpulannya, peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan pengorbanan dalam ibadat haji yang terangkum dalam sambutan aidil adha telah membawa satu konsep dan kefahaman tentang pengorbanan dalam seluruh kehidupan muslim. Seseorang muslim perlu mengorbankan sebahagian perkara untuk mendapatkan sebahagian yang lain. Seseorang muslim perlu mengorbankan nafsunya untuk mematuhi nasihat wahyu. Seseorang perlu mengorbankan sebahagian keseronokan dunianya untuk mendapatkan kebahagiaan akhiratnya.

Setakat ini dulu yang dapat saya utarakan pada hari ini, dan kita akan bertemu lagi di ruangan-ruangan lain. Apa yang baik itu dtg dari Allah dan apa yang buruk, salah dan silap itu adalah kesalahan saya sendiri, pada Allah sahaja saya mohon keampunan dan saya sudahi dengan lafaz yang mulia, assalamualaikum wr. Wbt.