Sunday, June 28, 2009

Tahniah Untuk Yang Cemerlang Tetapi Bagaimana Dengan Yang Sederhana Dan Terkebelakang.

Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi. Langkah kerajaan menyediakan lebih banyak peluang-peluang pengajian dan IPTS juga amat disokong. Dalam masa yang sama kita perlu fikirkan juga nasib pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik lantaran keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan.Mereka ini walaupun diberi peluang menukar aliran dari bidang akademik ke bidang pendidikan kemahiran selepas tingkatan tiga, namun mereka tidak menukar aliran tersebut kerana katanya dan kata ibu bapa mereka "tunggulah di sini, kerana di sini masih boleh meneruskan pengajian".

Sekarang timbul persoalan, adakah dengan membiarkan mereka meneruskan pengajian di aliran akademik di peringkat tingkatan 4 tanpa sekatan dan tapisan agar mereka menukar aliran ke arah pendidikan kemahiran akan membuahkan hasil yang baik untuk mereka ?. Yang pasti, jika dibenarkan semua lulusan PMR naik ke tingkatan 4 tanpa tapisan, maka kebanyakan mereka akan kekal di tingkatan 4 aliran akademik.Kebanyakan mereka tidak akan menukar aliran ketika itu. Mereka hanya berfikir untuk menukar aliran setelah di tapis selepas tingkatan 5, tetapi tahap ini mungkin sudah terlewat. Oleh itu tapisan untuk menyambung pengajian ke tingkatan 4 aliran akademik perlu ditapis.

Kalau di tahun-tahun 70an dulu, mereka ini ditapis, samada boleh atau tidak menyambung pengajian tetapi bukan itu yang kita cadangkan.Apa yang kita cadangkan ialah tapisan dilakukan untuk dialirkan samada ke bidang akademik atau kemahiran. Lakukan selepas PMR bukan selepas SPM. Jika ada orang berhujah bahawa akan bertambahlah kumpulan remaja yang tercicir , jawapannya kenapa tercicir, kerana mereka ini bukan dihalang dari belajar, cuma mengubah aliran.

Sejak akhir-akhir ini kita lihat semakin banyak sekolah-sekolah menengah yang dibuka kelas-kelas/bengkel kemahiran. Oleh itu idea di atas sebenarnya telah diaplikasikan sebahagiannya cuma dlm btk lain iaitu menyerap pendidikan kemahiran itu ke dalam kelas-kelas di aliran akademik.

Saya melontarkan pandangan ini berasaskan pengalaman menjadi pendidik kepada golongan ini selama 15 tahun. berbagai tabiat, sikap, kecenderungan, kemahiran dan minat mereka saya temui dan lalui dalam interaksi sepanjang tempoh itu.

Satu hal lagi, kita melihat dulu banyak sekolah-sekolah swasta timbul untuk menyediakan peluang pembelajaran bagi mereka yang tidak berkelayakan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 namun setelah semua lulusan PMR layak ke tingkatan 4 , maka sekolah-sekolah ini mati satu persatu.

Sekolah-sekolah ini tidak akan timbul kembali dengan bentuk tapisan yang saya perkatakan ini kerana ia tidak melibatkan keciciran.

Ada beberapa negara yang kita lihat memberikan pendidikan kemahiran kepada warganya lebih awal dan berbagai-bagai bentuk.Mereka boleh meneruskan hidup dengan kemahiran yang diberikan sehingga negara kita dibanjiri dengan kehadiran mereka seperti kedai gunting rambut, kedai makan, sektor pembinaan dan sebagainya. Peluang-peluang utk kita direbut oleh mereka kerana mereka mempunyai kemahiran sedangkan remaja kita tidak sedemikian. Rentetan itu bertambahlah mat-mat motor, kaki lepak, kaki samun, kaki ragut dan seumpamanya.

Sekian.

Tuesday, June 16, 2009

Haji 2009 dan H1N1

Assalamualaikum wr.wbt.

Musim haji 2009 akan menjelang tiba.Pihak pengurusan haji telah mangatur perancangan untuk kursus-kursus haji dan lain-lain persiapan yang perlu.Persoalan yang timbul ialah sejauh mana persiapan jemaah haji tahun ini untuk berhadapan dengan wabak H1N1 yang sedang merebak di seluruh dunia sekarang.Lebih jauh dari itu, persiapan itu bukan sahaja perlu di pihak jemaah sahaja, malah pihak pengurusan haji, kesihatan, imigresen dan sebagainya.

Persoalan yang lebih besar perlu difikirkan bersama ialah sejauh mana kewajipan menunaikan fardu haji pada tahun ini bagi orang-orang yang telah cukup perbelanjaan haji, perbelanjaan tanggungan yang telah ditinggalkan serta keselamatan perjalanan. Persoalan ini timbul kerana aspek keselamatan dari sudut kesihatan dilihat kurang terjamin berikutan merebaknya wabak diatas. Kewajipan haji perlu ditinjau dari sudut itu juga walaupun ia tidak disebut secara jelas dalam Al-Qur'an dan Al-Hadis. Sayyidina Umar sendiri menyuruh umat Islam lari dari takdir yang buruk kepada takdir yang baik.

Dalm hal ini, galakan Mufti Mesir melalui sidang akhbarnya di Kaherah baru-baru ini agar ulama' seluruh dunia menerangkan kepada umat Islam di negara masing-masing untuk menangguhkan haji dan umrah pada tahun ini dilihat amatlah releven.

Keputusan ini tidak boleh dibuat oleh individu tetapi perlu kepada perbincangan dan tindakan daripada beberapa pihak yang berkaitan dan berautoriti di bidang masing-masing.Beberapa kaedah feqah boleh ditinjau untuk menyokong cadangan ini. Sekian.