Wednesday, September 2, 2009

Panduan Asas Menghafal Quran

Berikut adalah beberapa panduan umum yang perlu dilakukan semasa menghafaz al-Quran:

1. Niat yang suci dan ikhlas, kerana menjaga kemuliaan agama, tanpa sebarang rasa terpaksa.
2. (Amalkan) hafazan dengan doa sebelum menghafaz dan sudahi dengan doa selepas menghafaz. (akan diposkan pada artikel akan datang)
3. Sunat dilakukan solat sunat memohon kepada Allah akan pertolongan dan juga kemudahan.
4. Jangan mencampuradukkan hafazan dengan tilawah (terutama yang baru memulakan hafazan al-Quran)
5. Sebelum memulakan hafazan, sebaik-baiknya diperhatikan dahulu baris-baris, tanda-tanda waqaf, dan hukum-hukum tajwid yang terdapat di dalamnya. Dan jangan memulakan hafazan melainkan setelah memperelokkan bacaan.
6. Dituntut juga supaya mendengar bacaan daripada guru ataupun memperdengarkan bacaan di hadapannya.
7. Membaca tafsir dan memahami pengertian ayat-ayat yang hendak dihafaz (walaupun sedikit @ sekadar termampu).
8. Jadikan khatam al-Quran sebagai amalan mingguan, bulanan atau sekadar mana yang termampu dilakukan, sekurang-kurangnya 2 kali khatam dalam setahun. (perlu diingatkan, amalan ini adalah tidak berkaitan dengan hafazan harian).
9. Jangan mulakan amalan seharian melainkan setelah membaca al-Quran. (saya teramat kagum dengan salah seorang bekas Syeikh saya semasa menuntut dahulu, di mana beliau tidak akan makan atau membuat perkara yang lain di awal pagi sehinggalah beliau menamatkan 3-5 juzuk bacaan!)
10. Syaratkan pada diri agar melakukan amalan-amalan tambahan yang lain; seperti berpuasa sunat, bersedekah, tolong menolong dan amalan-amalan utama yang lain.
11. Sebaik-baiknya jangan menggunakan mushaf yang kecil dan juga jangan sentiasa bertukar-tukar mushaf.
12. Membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam sembahyang, seperti sembahyang sunat. Alangkah baik lagi jika dibaca ketika menjadi imam, terutamanya waktu subuh atau juga sewaktu sembahyang terawih – di samping menjaga tertib dan juga tingkatan bacaan al-Quran.
13. Bersahabatlah dengan orang yang sentiasa dapat memberikan ingatan kepada kita tentang membaca al-Quran
14. Jika bersembahyang di belakang imam, dan kita menghafaz ayat yang dibacakan imam, maka jadilah seorang pendengar, bukan seorang penyemak. Jika diyakini imam tersalah atau terlupa bacaannya, berharaplah keampunan kepada Allah dengan hati yang tenang tanpa menegurnya. Namun jika dirasakan pada ketika itu imam memerlukan pertolongan, maka bantulah bacaan tersebut dengan niat memuliakan kalam Allah s.w.t. dan membantu hafazan imam

1 comment:

  1. syukran tuk tip2 nie...
    mklumlah nk mengafal ayat2 Allah bkn senang...huhu..

    ReplyDelete