Thursday, October 9, 2008

Perubatan Islam jadi tanda tanya

Benarkah wujud bidang yang disebut sebagai perubatan Islam? Atau mungkinkah perubatan Islam itu merujuk kepada amalan perubatan yang wujud pada zaman ketika Islam merupakan tamadun dominan di dunia?
Maksudnya, pada zaman Rasulullah s.a.w., seperti mana pada zaman-zaman lain, wujud amalan perubatan. Manusia di mana-mana peringkat sejarahnya pasti berusaha dalam bidang perubatan untuk mencari penawar penyakit yang dihidapinya.
Di kalangan masyarakat primitif, amalan perubatan juga telah wujud. Tidak kiralah sama ada sesuatu kaedah perubatan berkesan atau tidak, ia tetap dicipta oleh manusia untuk mengatasi masalah perubatan masing-masing.
Begitu juga pada zaman Rasulullah s.a.w. Amalan perubatan yang ada pada masa itu mencerminkan keadaan masyarakat pada masa itu. Begitu juga pada zaman-zaman Islam kemudiannya. Ketika pemerintahan Islam di Damsyek dan Baghdad, sudah tentu amalan perubatan yang diwarisi daripada Yunani, Rom dan Parsi digunakan dan dianggap sebagai amalan perubatan Islam. Tetapi kesemua itu adalah amalan perubatan prasains. Maksudnya, ia bukanlah berasaskan pada ilmu sains moden.
Apa yang disebut sebagai amalan perubatan Islam bukanlah berkaitan dengan agama. Ia lebih kepada amalan ketika tamadun Islam adalah dominan.
Sedangkan perubatan yang manusia kenal hari ini adalah berasaskan pada pengetahuan sains, dan kini ia diterima sebagai terbaik dan paling berkesan kerana mempunyai landasan rasional melalui pemerhatian dan percubaan.
Ilmu perubatan bukan saja merupakan suatu bentuk sains tetapi juga adalah teknik. Pun begitu, ia bukannya sebahagian daripada agama. Justeru tidak timbul perubatan Islam. Agama melangkaui sains dan teknologi termasuk perubatan.
Begitu juga al-Quran yang merupakan himpunan wahyu tidak wajar disebut sebagai kitab perubatan. Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai panduan manusia dalam kehidupan beragama tidak wajar disifatkan sebagai buku sains dan perubatan.
Ini kerana sains dan perubatan sentiasa berubah mengikut penemuan dan amalan manusia berhubung dengan kesihatan.
Sedangkan al-Quran adalah suatu dokumen wahyu yang kekal untuk menjadi panduan dan rujukan manusia sepanjang zaman.
Sememangnya ada amalan yang menjadikan ayat-ayat sebagai jampi untuk mengubati penyakit. Sedangkan ayat-ayat itu merupakan firman Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan panduan.

1 comment:

  1. kitab al-Quran adalah hudan..hudallilmuttaqiin. syifa' lima fissudur.. penawar hati..

    setiap penyakit ada ubatnya...
    Allah Ta'ala adalah Pengubat/Pemberi Penawar.
    Bismillahisysyafi...

    ReplyDelete