Monday, November 17, 2008

BERIKUT ADALAH CERAMAH SAYA DLM RADIO FM KELANTAN SEMPENA IDUL ADHA AKAN DATANG. RAKAMAN TELAH DIBUAT SEHARI DUA LEPAS.

Assalamualaikum wr. Wbt.
Tuan-tuan dan puan-puan para pendengar sekelian,

Zulhijjah menjelma lagi.Seluruh umat Islam baik yang berada di tanah air mahupun
yang sedang berada menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah Al-
Mukarramah merayakan Idul Adha pada setiap 10hb di bulan ini dengan bertakbir untuk mengagongkan Allah,, bertahmid untuk memanjatkan puji-pujian ke hadrat Allah,
bertasbih untuk mensucikan Allah dari segala bentuk amalan syirik.

Salah satu daripada tujuan disambut Aidil Adha adalah agar umat Islam sentiasa memperbaharui ingatan mereka kepada kepada satu peristiwa besar lagi bersejarah yang pernah berlaku kepada Abu al-Anbiya iaitu bapa para nabi, Nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa Nabi Ibrahim a.s. melaksanakan perintah Allah supaya menyembelih anaknya sendiri adalah satu pengorbanan amat besar yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai iman dan keyakinan yang jitu. Allah rakamkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. ini di dalam firmanNya melalui surah al Shafaat ayat 102- 110 yang bermaksud :


Sesungguhnya kita umat Islam sangat bertuah kerana dianugerahkan nikmat Aidil Adha yang berkonsepkan pengorbanan dan mempamerkan kehebatan sejagat ini. Selain dari peristiwa itu, kehebatan juga terpancar melalui perhimpunan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang saban tahun berkumpul dalam satu perhimpunan agung di tanah suci Mekah dengan natijah pengorbanan masing-masing iaitu untuk menjunjung tinggi kalimah tauhid. Mereka yang tidak dapat bersama-sama untuk menjejak kaki di Mekah pula akan bersiap sedia untuk membuat pengorbanan masing-masing dengan korban-korban binatang ternakan yang terpilih dan terbaik, di pagi Aidil Adha dan beberapa hari berikutnya sebagai lambang kebersamaan dalam ubudiah kepada Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ketika menyambut aidil adha ini ialah konsep, semangat dan penghayatan korban kerana rela atau tidak, kita adalah pemegang amanah dan pemikul kewajiban yang akan membawa perubahan dengan semangat pengorbanan yang telah dirintis oleh para Nabi Ibrahim. Inilah jalan hidup yang
terbaik bagi umat Islam untuk lahir sebagai umat yang unggul dan terbaik,

Pengorbanan bererti memilih sebahagian perkara dan menolak sebahagian perkara lain, kerana kita tidak mampu untuk memilih kedua-dua perkara yang berlawan dalam satu masa kerana kehidupan kita ini dijadikan dengan penuh terhad. Terhad segalanya. Masa yang terhad, wang yang terhad, diri yang terhad, umur yang terhad, undang-undang yang terhad, pengetahuan yang terhad dan segala macam lagi yang penuh terhad.

Semuanya yang kita korbankan adalah bergantung bagaimana kita membuat pilihan dalam keadaan dan suasana yang terhad. Biasanya pilihan yang dibuat adalah berlandaskan tentang apa yang kita yakini terbaik. Kalau seseorang berfikir yang qiamullail itu lebih baik dan boleh mendatangkan rasa cintanya kepada Sang Pencipta, maka dia akan korbankan tidurnya. Sebaliknya, jika seseorang itu fikir yang tidurnya itu lebih baik dan mungkin sahaja dapat menghilangkan mengantuknya, maka dia akan kesampingkan ibadat sedemikian. Begitulah seterusnya

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Pengorbanan yang dilakukan seseorang, adalah umpama memberitahu apa yang dicintanya dan apa pula yang dibencinya, mana yang lebih utama dan yang kurang utama baginya. Yang mana perlu didahulukan dan yang mana tidak. Seseorang akan berhenti di lampu merah adalah kerana dia percaya yang undang-undang dan keselamatan dirinya adalah lebih utama dari memecut laju mengejar masa.
Seseorang pesakit yang takut makan ubat, akan makan ubatnya kerana dia yakin yang kesihatannya adalah lebih utama dan lebih dicintai, melebihi rasa pahit sesuatu ubat itu. Dan seseorang yang diabetis (daibetis) sanggup dipotong kakinya yang rosak demi untuk menyelamatkan sesuatu yang lebih utama baginya iaitu anggotanya yang lain, malah, juga nyawanya.
Pendek kata, tidak diragu lagi bahawa seseorang akan sanggup melakukan apa sahaja demi apa yang dicintainya. Dan sesuatu yang kita cintai sering sahaja menuntut pengorbanan dari kita. Maka itu,­ pengorbanan menuntut kebijaksanaan dalam membuat pilihan. Menuntut kebijaksanaan untuk menilai yang mana perlu lebih diutamakan. Manusia akan rosak apabila tidak bijak dalam membuat pilihan.­

Demikianlah, pentingnya Aidil Adha dan ibadah korban ini dalam mendorong semangat umat Islam untuk terus berkorban dengan ikhlas semata-mata kerana Allah demi mencari melaksanakan perintah Allah dan rasulnya. Tanpa semangat berkorban yang dirintis oleh Nabi Ibrahim alaihissalam ini, orang akan sayang untuk membelanjakan hartanya berpuluh ribu ringgit untuk ke Makkah, orang akan sayang binatang ternaknya untuk disembelih sebagai korban. Juga orang akan sayang mengeluarkan harta benda, menyumbangkan akal fikiran, ilmu dan jiwa raga untuk kebahagiaan akhirat, yang masih belum dapat dilihat hasilnya semasa hidup ini.


Kesimpulannya, peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan pengorbanan dalam ibadat haji yang terangkum dalam sambutan aidil adha telah membawa satu konsep dan kefahaman tentang pengorbanan dalam seluruh kehidupan muslim. Seseorang muslim perlu mengorbankan sebahagian perkara untuk mendapatkan sebahagian yang lain. Seseorang muslim perlu mengorbankan nafsunya untuk mematuhi nasihat wahyu. Seseorang perlu mengorbankan sebahagian keseronokan dunianya untuk mendapatkan kebahagiaan akhiratnya.

Setakat ini dulu yang dapat saya utarakan pada hari ini, dan kita akan bertemu lagi di ruangan-ruangan lain. Apa yang baik itu dtg dari Allah dan apa yang buruk, salah dan silap itu adalah kesalahan saya sendiri, pada Allah sahaja saya mohon keampunan dan saya sudahi dengan lafaz yang mulia, assalamualaikum wr. Wbt.

No comments:

Post a Comment