Thursday, November 20, 2008

Ustaz, Dakwah dan ICT

Assalamualaikum wr. wbt.

Firman Allah bermaksud : Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sabda Nabi bermaksud : Sampaikanlah apa yang datang dariku walau pun sepotong ayat.

Potongan ayat dan hadis di atas amat jelas menunjukkan bagaimana dan apa peranan kita umat Islam dalam menjamin kesinambungan Islam dan dari sudut ilmu, amal dan keutuhan penghayatannya.Tinggal lagi.... bagaimana untuk mengaplikasinya dalam amalan. Bagaimana untuk memastikan dakwah itu terlaksana.

Saya tidak berhajat untuk berhujah tentang tanggung jawab dakwah itu samada ia fardhu 'ain atau kifayah tetapi lebih berhasrat untuk meninjau dari sudut aplikasinya sebagaimana yg dinyatakan di atas.

Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang adalah berbeza. Oleh itu gunakanlah ilmu dan kemahiran tersebut untuk melaksanakan tugas dakwah. Jika ilmu dan kemahirannya banyak, jalankan secara "banyak", jika ilmu dan kemahirannya sedikit, jalankan dakwah secara sedikit dan sentiasa bertambah. Namun erti kata "tak tahu dan tak boleh " untuk jalankan dakwah kerana alasan itu, tidak boleh sama sekali.

Mengikut kata seorang ustaz yang menjawat jawatan CEO sebuah kolej universiti, apabila ditanya tentang kelebihan penglibatannya dalam rancangan-rancangan agama di TV, jawapan yang diberikan ialah "di sana kita akan mendapat sasaran dakwah yang ramai. Dakwah kita akan meluas kerana penontonnya lebih ramai".

Maka di sini saya ingin fokuskan bidang dakwah menggunakan ICT atau secara lebih spesifiknya "internet". Kita melihat kian ramai kini para lulusan dari aliran agama menggunakan medium ini untuk menyampaikan ilmu dan dakwah. Tetapi istilah "ramai" itu mewakili berapa peratus sahaja berbanding bilangan lulusan aliran agama di Malaysia hari ini. Saya beranggapan, jauh dari cukup atau memadai.

Andai kata jika seseorang inginkan fatwa bagi sesuatu isu di Malaysia dan ingin mendapatkannya dari mana-mana blog atau laman web interaktif individu yang berautoriti, web manakah boleh ia dapati. Masih kurang. Sebolehnya para mufti, pegawai-pegawai di pejabat agama, kaunselor-kaunselor dan lain-lain pihak yang berautoriti perlu memiliki laman-laman sebegini untuk memudahkan capaian maklumat dalam dunia yang sentiasa sibuk dan bergerak pantas ini.

Tetapi ia dilihat agak kurang. Jika pun ada laman-laman web pejabat agama, sebahagiannya tidak interaktif dan bertambah malang apabila ia juga tidak di "update" kan.

Saya menyeru kepada para ilmuan Islam. Gunakanlah medan dakwah yang ada ini. Mungkin kalau dahulu, medan dakwahnya ialah "membuka pondok" untuk membolehkan murid berinteraksi, tetapi kini, tanpa menafikan cara lama, kita boleh pula beralih kepada "membuka laman web interaktif" untuk tujuan yg sama.

Kalau kedengaran kata-kata "ustaz kurang pandai ICT" cuba selidiki, berapa peratus yang pandai dan berapa peratus yang tidak pandai di kalangan mereka. Kemudian cuba selidik pula berapa peratus "individu bukan ustaz" yang pandai ICT dan berapa peratus yang tidak pandai dari kalangan lalu buat bandingan. Kita selalu fokus bahawa ustaz tidak berkemahiran dlm ICT tetapi kita tidak pula fokus kepada berapa berapa ramai "bukan ustaz" yang lebih tidak pandai dlm aspek ini.

Mungkin ada pendapat mengatakan mereka kurang kemahiran Bahasa Inggeris dan susah untuk mempelajari ICT kerana teknologi ini byk menggunakan bahasa itu. Cuba kaji pula sebagaimana di atas,berapa peratus ustaz yg "tidak boleh" menguasai bahasa inggeris ICT berbanding dengan yang "boleh"dan berapa ramai "bukan ustaz" yang" boleh" berbanding dengan yang "tidak boleh". Saya amat tertarik untuk menjalankan kajian ini. Hipotesis yang ada dlm kepala saya- "peratusnya mungkin tidak jauh berbeza antara mereka". Hipotesis ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya,bukan kajian. Jika ada mana-mana rujukan yang boleh memberi data ini, sila maklumkan saya. Ia menarik untuk dikongsi.

Satu hal yang perlu diberi perhatian, guru-guru agama kini tidak lagi seperti guru-guru agama dulu. Lulusan agama kini adalah lulusan kurikulum pengajian terkini, yg mana mereka telah didedahkan dengan kurikulum yg sama dengan kurikulum untuk pelajar-pelajar bukan aliran agama. Sebagai bukti,lihat sahaja kurikulum di sekolah-sekolah menengah agama sekarang, apa subjek yang tidak ada di sana. Semuanya ada, sama seperti sekolah biasa, malah lebih dari itu.

Seorang pensyarah sebuah universiti berkata " orang sering melihat ustaz tidak mahir ICT dan bahasa inggeris tetapi ramai lagi yg mahir tidak pula dilihatnya. Orang sering melihat golongan bukan ustaz mahir ICT dan bahasa inggeris tetapi lebih ramai yang tidak mahir tidak pula dilihatnya."


Sekian, untuk renungan.

No comments:

Post a Comment