Wednesday, November 11, 2009

Adab Pelajar Terhadap Guru

Apabila bercakap tentang adab pelajar terhadap guru, rata-rata masyarakat akan mengaitkan resam masyarakat Malaysia di era sebelum dan pasca merdeka dalam menuntut ilmu khususnya dalam konteks pengajian di pondok atau rumah guru-guru al-Quran.

Sorotan sedimikian ada logiknya kerana budaya di era itu amat menekankan adab menghormati para guru. Peredaran zaman, suasana dan kepentingan semasa telah merubah segalanya. Guru-guru kini kurang dihormati. Kehebatan mereka tidak lagi dirasai.

Para pelajar dahulu amat menjaga adab terhadap gurunya. Duduk mereka untuk menuntut ilmu adalah duduk yang selayaknya selaku seorang yang ingin berguru, bukan lagak bagai seorang yang alim. Mereka juga tidak meninggikan suara melebihi suara gurunya tanpa sebarang keperluan. Tetapi kita lihat hari ini, pelajar berani menengking guru, malah di tempat saya beertugas dahulu, ada pelajar membaling kerusi kearah guru. Ada pula sesetengah pelajar mentertawakan guru sedangkan fenomena ini tidak berlaku dalam era pendidikan dahulu.

Seringkali pula pelajar asyik bercakap semasa sesi pengajaran, menyampuk di sana sini, proses pengajaran tentu sekali terganggu, sedangkan sepatutnya mengikut adab Islam, pelajar hendaklah mengurangkan percakapan semasa belajar, khususnya percakapan antara sesama sahabat rakan sepelajarannya. Percakapan hanya sekadar apa yang perlu sahaja.,

Satu keadaan lagi yang kurang menyenangkan adalah pelajar tidak menumpukan sepenuh perhatian, apatah lagi untuk duduk dengan tenang dalam majlis ilmu. Mereka sering berpaling sana-sini, tanpa memberi perhatian apa yang diterangkan oleh guru. Sepatutnya sebagai adab seorang pelajar, mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh guru. Hal ini kadang-kadang meruntuhkan semangat seorang guru untuk menumpukan perhatian terhadap p & p khususnya terhadap pelajar bermasalah.

Para pelajar djuga isarankan agar mengelakkan diri dari terlibat dengan kesibukan lain yang menghalang proses pencarian ilmu seperti 'direct selling' dan sebagainya. Sebab itu institusi-institusi pendidikan menghalang para mahasiswanya terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan.

Para pelajar juga perlu membersihkan jiwa dari segala sifat mazmumah sebagai persediaan untuk menerima ilmu khususnya ilmu al-Quran yang suci itu. Pepatah Arab ada menyebut,
" Dibersihkan hati untuk menerima ilmu sebagaimana dibersihkan sawah untuk penamanan".

Bagaimanakah agak untuk mengembalikan suasana pembelajaran yang cukup menghormati guru sebagaimana yang sering dibanggakan di era sebelum ini khususnya dalam konteks pengajian pondok dan pembelajaran al-Quran di zaman-zaman sebelum tanah air merdeka. Sama-samalah kita fikirkan. Sekian, sekadar mencetuskan satu isu untuk terus dibincangkan.

1 comment:

  1. Murid dulu-dulu tolong carikan kayu api untuk rumah tok guru, tolong pasal pelita untuk rumah tok guru. Sekarang ni bukan nak suruh itu cuma sekadar merenung kembali apa jadi guru dengan pelajar. Sekarang ni, ada pelajar ajak bertumbuk dengan tok guru, tolong bakar kereta tok guru, calarkan kereta tok guru.

    ReplyDelete