Friday, September 24, 2010

Kurikulum Pendidikan Islam


Pendidikan Islam merupakan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat persekolahan. Langkah ini selaras dengan pernyataan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia.
Pendidikan Islam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) merupakan kesinambungan daripada program Pendidikan Islam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). KBSR menekankan kemahiran membaca al-Quran, Asas 'Ulum Syar'iyah dan Asas Akhlak Islamiyah sebagai fardu 'ain kepada setiap individu. Dalam KBSM pula, para pelajar ditingkatkan lagi pengetahuan dan penghayatan mereka dalam bidang Tilawah al-Quran, 'Ulum Syari'yah dan Akhlak Islamiyah.
Pendidikan Islam KBSM akan memberikan penekanan dan tumpuan yang sepenuhnya kepada aspek pengukuhan aqidah Islamiah, pemahaman dan amalan ibadah dalam kehidupan harian serta asuhan budi pekerti dan akhlak yang mulia.
Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup harian seorang muslim, maka Pendidikan Islam menekankan aspek amalan dan penghayatan.
Penghayatan fardu 'ain yang dipupuk pada peringkat sekolah rendah diperkukuh dan dipertingkatkan lagi pada peringkat sekolah menengah. Pelajar akan mengamalkan kewajipan ini sebagai tuntutan asasi dan benteng yang padu bagi menangani arus globalisasi dalam kehidupan seharian.
Bagi memastikan lagi keberkesana program Pendidikan Islam sekolah menengah ini, orientasi pengajaran dan pembelajarannya hendaklah sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek amalan dalam kehidupan harian. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik juga perlulah ditentaskan supaya wujud kesepadua daripada berbagai-bagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah. Melalui pendekatan ini, cita-cita hendakl melahirkan insan harmonis, seimbang dan bertaqwa akan tercapai.


FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
ATAS


MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal salih dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah ke arah menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa.
ATAS


OBJEKTIF PENDIDIKAN ISLAM
Setelah mempelajari Pendidikan Islam Kurikulum bersepadu sekolah menengah pelajar dapat:
i. memperkukuhkan kemahiran membaca, memahami, menghafaz dan menghayati al-Quran yang diperolehi pada peringkat sekolah rendah;
ii. memperkukuh dan mempertingkatkan amalan ibadat solat dan ibadat-ibadat lain yang diperolehi pada peringkat sekolah rendah;
iii. membaca, memahami dan menghayati kandungan al-Quran serta menghafaz ayat-ayat yang ada kaitan dengan amalan dalam kehidupan harian;
iv. memahami dan menghayati kandungan hadis-hadis Rasulullah S.A.W.;
v. memperkukuh pegangan aqidah Islamiah dan mengaitkan konsep tauhid dalam keseluruhan aspek hidup;
vi. membina keperibadaian serta mengamalkan akhlak mulia, sifat-sifat yang terpuji dan menghindari sifat-sifat yang tercela;
vii. memahami konsep ibadat dan mengamalkannya dengan betul dan sempurna;
viii. memahami, mengambil pengajaran dan meneladani sirah Rasulullah S.A.W., para sahabat R.A dan Tamadun Islam; dan
ix. memahami, mengamalkan dan menghayati Islam sebagai satu cara hidup.